oleh : Ruqayyah Farhani
"Bercinta, semuanya indah. Tapi indahnya kehidupan berkahwin tak pernah sama dengan apa yang selalu kita bayangkan ketika zaman bujang. Tak pernah sama dengan apa yang kita teka, rasa, pandang selagi belum rasa kehidupan setelah berkahwin.
Seringkali manusia keliru dalam fantasi hidup berpasangan. Antara cinta dan hawa nafsu. Tenang dan sensasi. Cemburu buta dan menjaga hubungan. Katanya cinta sejati, tapi berselang geli-geli dalam sembang ketawa. Rasa tenang bila melihat wajah, bersentuh tangan dan kulit, rupanya sensasi nafsu yang menular menjalar hingga ke tekak. Bukan salah mereka. Lihat saja ke dunia media kita, persekitaran keluarga, masyarakat, dan pengaruh budaya luar menyebabkan getaran hati untuk mencuba sesuatu yang baru semakin kuat. Ditambah pula dengan teknologi dan kemudahan yang ada menyebabkan satu-satunya penghalang adalah keinginan, hanya pilihan mahu atau tidak. Siapa pun mampu terjun dalam dunia maksiat tak kira masa dan tempat. Apa lagi jika belasan tahun dibesarkan dalam keluarga yang mengambil mudah isu pergaulan.
Ada juga yang serius dalam percintaan. Merancang dan berbincang disusuli tindakan, mengumpul duit, perbaiki kehidupan, menghalakan arah tuju perjalanan usia. Namun, jalan menuju perkahwinan pula seringkali diganggu angan-angan kosong, tipu daya syaitan, dan nafsu. Ditambah pula rasa sensitif, risau, cepat marah, cemburu. Pelbagai usaha syaiton mengganggu niat yang baik. Sabar, doa, rancang, dan teruskan apa yang terbaik.
Bila selesai berkahwin, destinasi yang dikejar adalah bahagia. Ramai yang sangka hala tuju kehidupan setelah berkahwin adalah bahagia. Seringkali aku dinasihatkan oleh pasangan veteran, "bahagia tu bukan destinasi. Tapi perjalanan". Sesuatu yang diusahakan atau pelaksanaan dan tindakan yang berterusan. Usaha dan tindakan inilah yang dikatakan bahagia. Tanda merasa adanya kebahagiaan adalah mengikut rasa ketika kita memberi. Memberi dan terus memberi. Bukan pada indahnya menerima."
Dapatkan buku #MaryamAnakSyurga untuk coretan, catatan, perkongsian santai dengan lebih lanjut di kedai-kedai berhampiran anda.
No comments:
Post a Comment