Pages

Friday 22 May 2020

CERPEN 2020 : SEGENGGAM CINTA BUAT ILAHI

SEGENGGAM CINTA BUAT ILAHI
Seperti yang dijanjikan, ila nak share CERPEN yang ila tulis masa awal bulan Ramadan hari tu.
Jemput baca ya 😍😍
* * *
“Asyhadu alla ila ha illallah, wa asyhadu anna muhammadar rasulullah. Aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”
Lafaz syahadah bersendikan kepercayaan teguh terhadap Allah dan Rasulullah itu diucapkan penuh syahdu. Riak emosi bercampur-baur jadi satu. Ada rasa terharu. Ada rasa gembira. Bercampur-baur dalam segenggam cinta yang baru sahaja membunga buat sang Pencipta. Sejenak, doa yang dibacakan oleh Imam Salleh ditadah dengan penuh rendah diri. Ada mutiara jernih tumpah melalui juring mata. Bait-bait kata yang memaknakan kecintaan buatNya meresap lembut pada bahagian roh dan jasad.
Ammar Rifqi Chan bin Abdullah. Itu adalah nama yang telah membuka lembaran baru dalam hidupnya. Nama yang diberikan oleh Aamir ibarat anugerah yang tak ternilai. Sahabat yang teguh bersamanya di dalam kembara penuh gemersik keinsafan ini. Titisan air matanya menyentuh segenap sanubari. Ammar menghampiri Aamir sebelum dihadiahkan dakapan kasih. Erat. Bagaikan segala rasa ditumpahkan pada pelukan itu.
Jumaat ini tidak sama dengan hari Jumaat yang lain. Ianya indah, dihiasi ceritera hijrah yang didamba seumur hidup. Bersama pengembaraan penuh hikmah ini, akhirnya Ammar temukan sesuatu yang dicari-carinya. Kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Tidak sia-sia dia mengambil keputusan untuk mengikut Aamir pulang ke kampung ini. Kampung yang menempatkan pusara kedua-dua orang tua Aamir ini menjadi asbab episod penghijrahan yang telah menjadi pilihannya.
Aamir menggamit Ammar untuk menyambung perbualan di bawah wakaf yang terletak di dalam kawasan perkarangan masjid. Bercerita soal perancangan akan datang, permulaan pembelajaran mengenali agama dan pegangan akidah sebelum angin perbukitan asyik bertiup kencang membawa petanda bakal runtuhnya sang awan yang sudah sarat membawa muatan.
“Mari kita masuk ke dalam semula. Macam dah nak hujan ni. Elok kita panjatkan doa. Semoga hujan ini adalah hujan yang membawa manfaat. Dengarnya sudah lama juga kawasan ini tidak menerima hujan. Mungkin petanda hujan rahmat, hadiah untuk hambaNya yang berjaya menemui jalan pulang pada janji Ilahi semasa di alam roh.”
Ada koyakan senyuman mekar pada bibir Ammar tatkala dipacu keindahan kata-kata semangat daripada sahabat kesayangan. Ditemukan kedua-dua belah tangan sebelum meraup wajah yang lembap dengan air wuduk.
“Syukur Alhamdulillah. Hari ini telah Tuhan buktikan yang percaturan takdirnya tidak pernah salah. Tiba masanya untuk menyingkap hikmah, lalu dibukakan pintu hati untuk menerangi jalan yang dahulunya kelam tanpa arah.”Ammar juga tidak kurangnya bermadah. Kelebihan bergaul mesra dengan sahabat-sahabat berbangsa Melayu semenjak dahulu, membuatkan dia petah berkomunikasi di dalam bahasa Kebangsaan itu.
Aamir mengangguk penuh hormat, mengiyakan segala kata-kata yang terlafaz. Sungguh, rahsia kebenaranNya terbentang luas bak langit yang merentangi seluruh angkasaraya.
Pejam celik pejam celik, masa terus berlalu pantas. Ammar berjalan keluar menuju ke kawasan rumah sewanya. Dia baru sahaja selesai melaksanakan program dakwah anjuran masjid di dalam kawasan perumahan. Sambil berjalan, sambil menepis agas dan nyamuk yang seronok bercanda. Kala ini, dia mahu segera pulang ke rumah. Ada seseorang yang istimewa setia menanti di rumah yang dipanggil mahligai itu.
Langit malam ditelek sekilas. Tiada taburan bintang yang menghiasi. Bahkan sang rembulan juga asyik menyorok dibalik gumpalan awan.
Semakin lama, malam semakin larut, merangkak sunyi bersama angin dingin yang membuatkan tubuh merinding kesejukan. Hujan yang tadinya lebat membasahi bumi tanpa ingkar telah lama reda. Apakah seseorang itu sudah tenggelam dalam layaran mimpi? Barangkali sudah. Keadaanya sebulan dua ini begitulah, diuji dengan keletihan dan dugaan-dugaan kecil sebelum menempuhi trimester yang seterusnya.
Ammar memasukkan kunci pada tombol pintu sambil mengucap salam. Tiada sahutan. Cahaya lampu yang malap menandakan penghuninya sudah lena di dalam kamar peraduan.Siap mengunci pintu, lekas Ammar mengatur langkah ke dalam bilik. Sekujur tubuh insan bergelar bidadari dunia ini elok terlena pulas tanpa berkutik.Ammar bingkas menuju ke bahagian almari lalu menukar pakaian sebelum masuk ke dalam bilik air dan memperbaharui wuduk.
Sejenak kemudian, dipanjat katil penuh cermat sebelum mengusap lembut bahu pemilik belahan jiwanya itu dengan penuh kasih sayang. Pada sinar pandangannya, tumpah segala anugerah cinta yang diizin Tuhan. Mencintai dan dicintai penuh keikhlasan.
Lalu entah bagaimana, parut di dahi wanita itu membuatkan sebuah kenangan terlayar semula, melonjak-lonjak untuk diingati momennya. Bagaimana bermulanya kisah Zahirah An-Nur, wanita yang teraniaya ini diangkat darjat kemuliaanya ke tangga yang diredai Ilahi Rabbi. Dan bagaimana semuanya bermula pada sebuah pertemuan yang telah ditakdirkan.
Meskipun di awal pengisahan, ianya hadir tanpa terduga namun Ammar benar-benar pasti, ada mesej Tuhan yang cuba disampaikan secara halus dan tersirat.
Suatu hari, saat langit menghampiri senja, dihiasi goresan warna jingga yang tersibak indah, Ammar mengatur langkah pantas menuju ke sebuah kawasan perumahan flat yang diduduki oleh Yassir. Biasanya mereka berdua akan bergandingan ke kuliah agama selepas Maghrib dan Isyak di rumah Ustaz Hadri. Oh ya, Yassir adalah salah seorang sahabat yang menuntut ilmu agama sepertinya. Dibesarkan di dalam keluarga yang tidak mahu mengambil pusing makna iman dan amal membuatkan Yassir nekad meneruskan kehidupan ini dengan caranya.
Dia mempunyai azam untuk membawa keluarganya keluar dari belenggu kejahilan. Oleh kerana itu, dia tidak mahu berpindah jauh. Biar segala perjalanan hijarahnya mengejar agama menjadi saksi mata kepala ahli keluarganya sendiri.
Semasa Ammar sedang mengatur langkah, tiba-tiba langkahnya dihadang oleh seorang wanita yang berpakaian tidak semenggah. Segera dilarikan matanya daripada melihat hidangan percuma yang haram itu.
“Kenapa kau palingkan wajah? Aku ini teruk sangatkah di mata lelaki golongan syurga seperti kau?” keras suara itu menempelak Ammar. Menghidang fahaman stereotaip yang sentiasa diberikan kepada golongan-golongan yang sedang menghampiri agama Allah.
“Nama saya Ammar. Saya belum layak menjadi lelaki syurga tetapi saya sedang mengejar jalan ke sana,” tanpa berselindung, Ammar memperkenalkan dirinya kepada wanita asing yang tidak pernah dilihatnya itu. Bebola mata masih selesa dipandang ke tepi.
“Layakkah saya mengejar cinta Tuhan,Ammar? Masihkah terbuka pintu keampunan untuk wanita seperti saya? Saya kotor Ammar. Kotor.”
Ada gelombang kecil melanda jiwa lelakinya. Wanita asing itu dikerling dengan hati yang merusuh. Tidak terjangkau di fikirannya bertemu dengan makhluk Tuhan yang sedang rapuh hatinya kala ini.
Ammar terjeda. Dia cuba memikirkan kata-kata yang terbaik untuk diluahkan.
“Saya mengakui yang kehidupan saya penuh diselaputi dengan daki kotoran duniawi. Saya pendosa tegar, Ammar,” wanita itu menyambung kata-katanya. Dan bersama dengan kata-kata itu, dia tertunduk menampung air mata yang sudah membasahi lekuk pipi.
“Kembali kepada fitrah cik. Sesungguhnya orang yang bertaubat itu laksana bayi yang baru dilahirkan. Bersih dan suci seperti kain putih.” Gelora rasa yang hadir membuatkan nafas Ammar sedikit sesak.
“Kisah silam bukanlah penentu sama ada kita terus baik atau buruk di atas jalanNya. Pokok pangkalnya adakah kita mahu bertaubat atas segala dosa-dosa kita. Bertaubatlah cik. Meskipun dosa kita ini sebanyak buih-buih di lautan sana, percayalah pintu pengampunan Allah swt maha luas. Seperti luasnya langit dan sekalian bumi,” sambung Ammar sebelum membalas lambaian daripada Yassir.
Dengan rasa terpaksa, dia perlu meninggalkan wanita itu dengan kata-kata untuk difikirkan. Semoga rahmat Tuhan memayunginya dalam perjalanan menemui segenggam cinta dari llahi.
Bahu Yassir dipaut mesra saat sahabat itu dihampiri.
“Itu Zahirah An-Nur namanya,” kata-kata Yassir membuatkan jantung Ammar berdegup pantas. Indah benar sebaris nama itu.
Namun sayang benar, hidupnya tidak seindah untaian nama yang dipikul.
“Kalau kau cuba fikirkan sebab mengapa dia jadi begitu, percaya cakap aku, dia tersepit dalam desakan hidup. Dijual oleh bapa tiri yang bernafsu binatang dan berTuhankan serakah keduniaan.”
Demi mendengarkan apa yang diperkatakan Yassir, terngadah luas mulut Ammar menadah kesedihan kisah seorang wanita yang selayaknya dilindungi dengan penuh amanah.
Keesokkan hari dan berlarutan sehingga hampir seminggu lamanya, Ammar sentiasa didatangi oleh wanita yang sama. Hari demi hari, pakaiannya sudah sedikit sopan. Dan kali ini, dia memilih untuk bert-shirt longgar dan berseluar separas betis.
“Ajarkan saya tentang Islam, Ammar.” Ada nada rayuan pada permintaan itu.
Ammar tergamam. Baru hari ini, dia mendengarkan permintaan itu terluncur dari seulas bibir milik wanita bernama Zahirah An-Nur itu.
Lantas Ammar mengeluarkan Ipod dari dalam beg sandangnya, diunjukkan gajet elektronik itu kepada Zahirah untuk diambil.
Dalam jarak yang selesa, Zahirah menadah tangannya sebelum gajet tersebut bertukar tangan.
“Saya masih belajar mengenali agama. Tetapi sedikit ilmu Tuhan yang saya pelajari, ada saya simpan di dalam Ipod itu. Semoga dengan indahnya nama Nur pada pangkal nama cik, indah jualah nilai agama yang menyerbu masuk ke dalam diri cik. Saya doakan agar cik dibukakan hati itu untuk memberi ruang nur menyusup masuk tanpa hijab, mencapai tahap maghfirah dan makrifahNya. Yang penting, utuhkan keyakinan terhadap kekuasaanNya, moga dipertemukan bunga-bunga cintaNya yang suci dari debu dosa. Assalamualaikum.”
Zahirah menjawab salam Ammar pada tahap desibel bunyi yang rendah. Terpana, terkaku malah terkesima dengan setiap patah perkataan yang diluncurkan oleh lelaki yang berkulit cerah itu. Hasil pertanyaan kepada Yassir, Ammar merupakan seorang mualaf yang sudah biasa dengan budaya kehidupan orang Melayu. Tidak pelik jika tuturnya fasih dan tiada cela dimana-mana.Malu mengenangkan diri yang sudah dilahirkan bersama rahmat Islam, tetapi masih tidak mampu menjadi seorang penganut agama yang bersungguh-sungguh seperti Ammar.
“Ya Rabbi Ya Tuhanku, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa segala kejahilan diri ini. berikanlah daku peluang untuk menerima cahaya agamaMu,” ungkap Zahirah penuh pengharapan. Rasa itu muncul tatkala mendengar lagu di dalam Ipod milik Ammar dengan linangan air mata.
Embun waktu ini kebetulan elok meluncur menuruni reranting pokok yang berdekatan dengan tingkap biliknya. Lagu Damba CintaMu berkumandang sekali lagi, mengetuk seluruh jiwa raga.
“Bilakah diri ini kan kembali kepada fitrah sebenar. Pagiku ingat, petang kualpa. Begitulah silih berganti. Oh Tuhanku, Kau pimpinlah diri ini yang mendamba cintaMu..”
Lirik lagu itu ditulis pada sebuah buku. Buku diari yang pernah diberikan oleh arwah ibu untuk yang terakhir kalinya. Pemberian pertama dan terakhir yang cukup berharga.
Baru hendak meneruskan pendengaran ke bahagian ceramah mengenai ilmu Tauhid, tiba-tiba Zahirah menangkap bunyi pintu biliknya digendang-gendang kuat. Sekilap ritma degupan jantungnya jadi tidak tentu arah. Gementar dan takut. Tidak sampai lima minit, pintu biliknya sudah terbuka luas menjengulkan tubuh seorang lelaki yang buncit perutnya sedang mencerlangkan pandangan tajam ke arah Zahirah. Kecut perutnya melihat renungan itu.
“Patutlah aku cari kau di kelab tak ada. Aku bekerja di sana, kau di sini elok mendengar lagu. Dasar perempuan tak guna!” Amarah Jusoh memecah kesunyian malam. Dia menendang Zahirah dengan sepenuh tenaga. Jeritan anak tirinya itu terus melangsi tinggi apabila rambut panjang melepasi paras bahu itu dicekak sekuat hati sebelum wajahnya ditempeleng berulang-ulang kali. Zahirah terjelepok jatuh. Dahinya terkena bucu meja yang agak tajam.
“Abah! Ampunkan Ira abah. Ampunkan Ira,” dia menekup dahinya yang sudah terluka. Darah mengalir lebat membasahi wajah.
Si bapa tiri yang tidak berhati perut itu terus berlari meninggalkan Zahirah yang meraung kesakitan.Yassir yang mendengar jeritan Zahirah terus menghubungi Ammar. Dia tahu, jiran-jiran yang lain tidak akan berani hendak mencampuri urusan keluarga bapa ayam yang dicemuh masyarakat itu.
Ammar yang mamai terus segar. Matanya terbuntang luas mendengarkan butiran pemberitahuan Yassir.
Tidak langsung berlengah, dipersiapkan diri untuk membantu wanita yang teraniaya itu. Dia tidak mahu dibelenggu kekesalan jika membiarkan Zahirah terpontang-ponting berjuang dalam kehidupannya.
Peristiwa seminggu lepas benar-benar membuatkan Ammar berfikir dan terus berfikir. Dia cuba mencari jalan keluar dari kesulitan yang merajai. Disebabkan itu, Ammar memilih untuk berjumpa dengan Aamir. Mahu menyuarakan hasrat hati yang terpendam.
Aamir pada mulanya mendengar dengan penuh teliti sebelum perlahan-lahan riak wajahnya berubah total.
“Aku tidak pernah sangka kau campakkan diri kau ke dalam dunia itu semula, Ammar. Sudah tidak ada orang lain ke untuk kau angkat kedudukannya sebagai surihati? Kau lihat Mardhiyah, adik aku yang tulus cintakan kau dalam diam. Terluka hatinya apabila perasaannya dihampakan. Tidakkah kau berfikir Ammar? Lelaki-lelaki yang baik itu untuk wanita-wanita yang baik dan begitu jugalah sebaliknya.”
Ammar menundukkan kepalanya. Setiap bilah-bilah kata Aamir menoreh hatinya tanpa belas. Dihela nafas sedalam-dalamnya. Dengan mata yang redup dan sedikit membengkak, Ammar menepuk bahu Aamir.
“Maafkan aku Aamir tapi aku mohon agar kau hormatilah pilihan hidup ini. Orang yang baik akhlaknya itu akan sedaya upaya menemukan kebaikan di tengah-tengah hamparan sejuta keburukan. Percaya satu hal di mana kemuliaan itu tidak akan pernah wujud dengan memberikan pandangan hina terhadap insan yang lain. Andai kata sungguh manusia itu pernah jahil, tidak bermaksud kita boleh menghina dia sesuka hati dan sesedap rasa kita. Jauhi sikap yang meletakkan diri ini lebih mulia dari orang lain. Ketahuilah bahawa untuk berubah itu pencariannya tidak sesusah istiqamah. Aku sudah beristikharah dan aku temukan kedamaian dalam redup pandangannya Aamir.”
Dibawa langkahnya pergi meninggalkan sahabat itu, bersama harapan agar cara pandangannya ditelusuri semula. Janjinya untuk bertemu dengan Zahirah di rumah Bonda Khaulah perlu ditunaikan. Pertemuan yang dilapisi tabir buat penghadang. Bersama saksi yang sudah masak dengan asam garam kehidupan. Besar jasa Bonda Khaulah, isteri kepada Imam Hadri yang telah menerima kehadiran Zahirah tanpa prasangka.
“Izinkan saya menyunting awak sebagai isteri saya yang sah, Zahirah,” lamaran yang bersifat terus itu dilafaz dengan penuh kelembutan.
Zahirah senyap. Dia cuba menyeka air mata yang berlinangan. Betapa indahnya diri yang sudah tidak punya harga ini disunting oleh lelaki yang soleh.
“Maafkan saya Ammar. Saya terpaksa tolak pinangan awak,” sahut Zahirah, penuh dengan rasa rendah diri. Bonda Khaulah disisi menggengam erat jari-jemarinya. Meminjamkan nadi-nadi kekuatan.
“Tapi kenapa Zahirah?” soal Ammar.
“Saya tak rasa saya mampu untuk hidup dengan lelaki sebaik awak.”
“Saya tak baik mana, Zahirah. Allah swt yang tutup segala aib saya.”
“Tapi keaiban saya susah nak ditutup Ammar. Dosanya akan menghantui sepanjang hidup ini. Tambahan lagi kalau dijadikan bahan ungkitan. Ya Allah, saya tak kuat setiap kali saya terfikirkan hal itu Ammar,” Zahirah cuba menguatkan hatinya untuk menuturkan kata-kata itu. Bahunya dipeluk bonda.
“Zahirah dengar sini, Nabi saw ada bersabda, sesiapa yang menutupi kesalahan seseorang muslim maka Allah menutupi kesalahannya di dunia dan di akhirat. Tidak ada alasan untuk saya mengungkit segala yang sudah lepas. Asalkan awak mahu bertaubat, pada saya awak lebih suci daripada segala-galanya,” Ammar mengangkat wajah melihat bayangan tubuh wanita yang sudah mula disayanginya itu.
Dan sudah takdirnya jodoh Ammar bersama dengan Zahirah. Ikatan itu akhirnya diikat penuh dengan rasa kecintaan yang mendalam.
Pada Zahirah, Ammar adalah seseorang tanpa nama yang didoanya setiap masa.
Ammar tersentak apabila si isteri menggoyang-goyangkan bahunya.
“Lama abang termenung?” ditegur suaminya yang pegun dalam menungan semenjak tadi sebelum peluput telinga menangkap tawa yang terlepas.
“Fikirkan apa abang?” soalan daripada Zahirah bersambung lagi.
“Fikirkan tentang perbahasan Imam Ghazali mengenai beberapa cara untuk kita beristiqamah dalam amalan dan ibadah kita. Awak nak tahu?” sengaja Ammar menyembunyikan kisah yang terlayar dalam pemikirannya tadi.
Zahirah mengangguk. Bebola matanya memandang wajah tulus sang suami yang diterangi cahaya bulan. Memujuk mata agar terus celik.
“Pertamanya, kita mestilah bebas daripada mengejar penghargaan dari manusia. Maksudnya di sini, kita perlu betul-betul pasakkan diri kita semata-mata mencari reda Allah swt. Dengan rasa itu, pastinya kita akan berani untuk berkata benar dan tidak akan sesekali takut terhadap tekanan mahupun ancaman manusia lain.”
Ammar terjeda. Menarik nafas baru.
“Kedua pula, mencari reda Allah sehingga kita menjadi hamba yang tidak takut dikeji dan tidak suka dipuji. Yang ketiga, sentiasa mengingati mati dan berdoa untuk dimatikan dalam keimanan dan husnul khatimah. Dan yang paling penting, hati yang selalu merindui para Nabi dan sahabat di syurga. Cuba letakkan elemen-elemen ini dalam diri inshaAllah kita akan menjumpai kunci untuk istiqamah. Sayang dengar tak?” terus dia mengalihkan pandangan ke sisi apabila kesunyian mula membelit suasana.
Lihat betapa lenanya Zahirah memejamkan mata. Seperti bayi yang suci daripada dosa.
“Telah kusiapkan, satu daerah paling sunyi. Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri. Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita. Untuk kau beri erti dengan kelembutan, untuk kau hargai dengan kasih sayang..”
Semoga mahligai ini terus berada dalam landasanNya, buat bekalan bukan setakat segenggam tetapi bergenggam-genggam cinta buat Ilahi.
-TAMAT-