Mendidik Isteri Cara Rasulullah S.A.W
Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam
mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal
yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh
perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika
kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah
pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah
keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang
berwibawa.
Firman Allah SWT:
“Lelaki adalah pemimpin
(pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang
satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian
daripada hartanya.”
Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih
apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam
menghadapi kerenah dan ragam isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan
lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan
wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling.
Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan
daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang
untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya
strategi dalam mendidik isteri.
Kaum wanita memang
dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya
satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu
seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah
hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja,
cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu
itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan
juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan
dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri
mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya
tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada
diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan
rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu
suami terpaksa mempelajari sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan
wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat.
Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri
sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran
suami.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran.
Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan
menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa
daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami
tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh
mencederakan isteri.
Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang
pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan
tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui
latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh
menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan
tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.
Tatkala Rasulullah
SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan membaling sampah
kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan
kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan
pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di sebelah rumahnya.
Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari Rasulullah
SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi
perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang
dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya kepada jiran
perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik
ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan
khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah
terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Baginda yang sanggup
menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan
sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu,
menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan
kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun yang
menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi.
Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri
salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa
mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab:
“Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”
Begitu
Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran
baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak
yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan
yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak
dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu
perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum
perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah
bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu
walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:
“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk
dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami
keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya:
“Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah
mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum
memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya
menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil
sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas
itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”
Yang dimaksudkan
dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar
kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu.
Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri
pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang
tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat
egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama
Siti Aishah.
Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti
Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan
mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa
melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan
sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah
menang dan adakalanya Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama
isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa
menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh
isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti
pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut
saja segala kemahuan isteri.
Di sinilah perlunya ketegasan
seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas
tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak
melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.
Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik
dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana
wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya
apabila fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau
ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih
lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan
marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk
dikawal ialah tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk
macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari
nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).
Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang
sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai
kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya
setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan
prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk?
Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan
marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana
berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga
perasaan marahnya kendur.
Ada kalanya demi keharmonian
rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya
diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan
isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Bukanlah untuk menggalakkan suami
mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di
belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak
bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin
ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk
menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW.
Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang
mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara
isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?”
Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak
terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang
dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus
dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak
dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini
diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya
supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya
kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu.
Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi
isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun
tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya
sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan
sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada
isteri-isteri yang lain.
Pada hari yang telah ditetapkan
Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak
memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka
berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara
mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti
jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka.
Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun berkata, “Isteri
yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka
tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka
dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan
suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu
perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang
kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab
leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu
strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus
dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga
sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang
berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur,
barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya.
Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun
pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan
kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah
pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan
ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah
baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara
tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak
kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu
pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela
mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan
anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan
pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang
atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami
dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan
masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi
kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi
akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah
boleh membahagiakan seisi alam.
Sumber: http://www.one-ummah.net/
No comments:
Post a Comment